Manusia pilihan kelas tertinggi adalah
Nabi-nabi. Tuhan kurniakan kepada mereka kekuatan rohani yang luar biasa.
Mereka mampu menempuh alam ghaib dan berhadap kepada Hadrat Ilahi tanpa
berlaku kegoncangan kepada akal fikiran, kesedaran dan sifat-sifat kemanusiaan
mereka. Mereka diperkenalkan dengan berbagai-bagai suasana ketuhanan (hakikat
ketuhanan) dan mengalami berbagai-bagai perkara yang ganjil dalam keadaan
jaga, tidak terbalik pandangan, tidak terlepas kehambaan dan tidak hilang
kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk lainnya. Mereka tidak terdorong
kepada suasana fana dan jazbah, tidak ada bersatu dengan Tuhan, baqa dengan
Tuhan dan berpisah dengan Tuhan. Nabi-nabi menghadap kepada Tuhan tanpa
melupai makhluk. Mereka juga melayani makhluk tanpa lalai daripada Tuhan.
Makhluk tidak melindungi Tuhan dan Tuhan tidak menghapuskan makhluk. Kedua-duanya
berada dalam kesedaran nabi-nabi.
Manusia yang selain nabi-nabi akan
menerima kesan yang kuat daripada pengalaman kerohanian yang dinisbahkan
kepada suasana ketuhanan. Keadaan ini lebih kuat lagi berlaku kepada orang
yang dibawa kepada tarekat ujian bala. Kegoncangan yang hebat oleh ujian
bala menyebabkan hati mereka ‘pecah’. Akibatnya kesedaran kepada alam maujud
dan diri sendiri hilang. Tabiat dan sifat kemanusiaan juga tertanggal.
Kesan yang muncul daripada ‘pertembungan’ dengan suasana ketuhanan itu
dinamakan jazbah dan orang yang mengalami jazbah dinamakan majzub.
Jazbah adalah hal yang dialami oleh
hati berhubung dengan aspek ketuhanan yang tidak dapat dicapai oleh akal.
Hijab diangkatkan dan mata hati mereka menyaksikan perkara ghaib dan kenyataan
tentang Tuhan. Suasana jazbah itu berbeza bagi seorang dengan seorang yang
lain. Secara umumnya orang yang mengalami jazbah atau ahli majzub boleh
dibahagikan kepada empat jenis.
Majzub jenis pertama adalah orang
yang dibawa oleh Tuhan kepada beberapa pengalaman kerohanian yang berkait
dengan ketuhanan dan mencapai beberapa makam yang tinggi dalam tempuh yang
singkat serta mereka mendapat keasyikan terhadap Allah s.w.t tanpa berguru
dengan sesiapa dalam hidup mereka. Jazbah merombak keperibadian mereka
secara menyeluruh. Mereka menjadi orang yang sangat berlainan daripada
keadaan mereka sebelum kedatangan jazbah. Mereka tidak suka bergaul dengan
orang ramai. Mereka lebih merasakan kedamaian dan kebahagiaan jika mereka
bersendirian dalam keasyikan dengan Allah s.w.t. Apa yang berlaku di sekeliling
mereka, baik atau buruk, tidak menarik minat mereka. Kegoncangan yang berlaku
dalam masyarakat dan keluarga tidak mampu menarik mereka keluar daripada
keasyikan mereka. Mereka hanya gilakan Allah s.w.t. Setiap detik mereka
teringatkan Allah s.w.t sahaja. Mereka tidak suka mendengar cerita yang
selain Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t dan yang mengenai Allah s.w.t sahaja
yang dapat menembusi hati mereka. Bila mereka dikuasai oleh jazbah hilanglah
kesedaran, fikiran, penglihatan, pendengaran dan pergerakan mereka. Orang
majzub tidak sedarkan diri mereka dan alam maujud sekaliannya. Dalam keadaan
demikian mereka mengalami berbagai-bagai hal atau pengalaman kerohanian.
Mereka berpindah dari satu makam ke satu makam yang lain dengan cepat.
Orang majzub seperti ini dikasihi oleh Allah s.w.t dan Dia melindungi mereka
daripada orang jahil yang jahat perangai. Oleh kerana mereka sudah hilang
kesedaran dan sifat kemanusiaan, maka hilang juga keupayaan mereka untuk
membezakan yang baik daripada yang buruk. Majzub yang seperti ini tidak
boleh dijadikan pembimbing orang ramai kerana adab sopan dan peraturan
masyarakat tidak ada dalam kesedaran mereka.
Majzub jenis kedua, setelah dilenyapkan
akal dan kesedaran seperti jenis pertama, mereka dikembalikan semula kepada
kesedaran kemanusiaan sedikit demi sedikit. Mereka diturunkan dari satu
makam kepada makam yang lain. Penurunan tersebut mengurangkan kesan jazbah
sehingga akhirnya mereka sampai kepada penetapan dan kesedaran sepenuhnya.
Ketika menaik kesedaran mereka terhadap yang selain Allah s.w.t hilang
dengan cepat dan dalam keadaan demikian mereka ‘menemui’-Nya. Ketika penurunan
kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk lainnya tidak kembali dengan
cepat. Mereka mengambil masa yang agak lama sebelum kesan jazbah hilang
sepenuhnya daripada kesedaran mereka. Ada sebahagian daripada mereka yang
kesan jazbah tidak hilang sampai ke akhir hayat mereka. Bagi majzub kumpulan
kedua ini jazbah berperanan sebagai ‘kuasa pemaksa’ yang mengheret mereka
keluar daripada alam kelalaian dan memasukkan mereka ke jalan yang memperadabkan
mereka dengan Tuhan. Rahmat Tuhan yang menarik mereka kembali kepada jalan
yang lurus. Perubahan yang berlaku kepada mereka terjadi dengan pantas.
Mungkin dalam masa kurang daripada dua bulan mereka sudah melalui semua
stesen kerohanian dan mengalami hal ketuhanan yang mencukupi untuk mereka
mengenal Tuhan secara hakiki. Setelah kembali kepada sifat kemanusiaan
semula mereka meneruskan kehidupan menurut jalan kenabian, menurut Sunah
Rasulullah s.a.w dan menjadikan kehidupan nabi-nabi dan wali-wali sebagai
iktibar. Proses penurunan majzub jenis kedua ini merupakan pembalikan kepada
proses menaik orang salik.
Majzub jenis ke tiga tidak hilang akal
fikiran dan kesedaran mereka. Perubahan kerohanian berlaku dalam sedar
dan jaga. Tidak ada perpisahan dengan sifat kemanusiaan, tidak ada fana
dan bersatu dengan Tuhan. Mereka menetap dalam kehambaan, tidak terbalik
pandangan, tidak mengalami mabuk dan tidak mengeluarkan ucapan latah yang
menyalahi syariat. Orang yang di dalam kesedaran ini didatangkan jazbah
kepada mereka sebagai kurniaan Tuhan untuk memperkenalkan mereka kepada
Yang Hakiki kerana ilmu dan amal mereka tidak berupaya menyampaikan mereka
kepada yang demikian. Kaum sufi umumnya berpendapat majzub yang menetap
dalam kesedaran dan kehambaan lebih baik daripada majzub yang mengalami
kefanaan dan mabuk. Majzub yang di dalam kesedaran boleh menjauhkan diri
mereka daripada perkara-perkara yang mendatangkan fitnah.
Majzub jenis ke empat adalah orang
yang memasuki jalan suluk terlebih dahulu. Ketika bersuluk itulah akal
fikiran dan kesedaran mereka dihapuskan. Majzub jenis ini mengenali alam
terlebih dahulu sebelum mengenal Tuhan (mengalami hakikat ketuhanan). Bimbingan
guru yang mursyid membuat perjalanan jazbah mereka teratur. Mereka meningkat
dari satu makam kepada makam yang lain dengan bersistematik. Mereka melalui
stesen-stesen kerohanian dengan bimbingan yang benar. Guru yang telah melalui
semua stesen kerohanian, memperolehi makam-makam, mengetahui suasana kefanaan,
kebaqaan dan Kebenaran Hakiki sesudah fana dan baqa, diperlukan bagi membimbing
salik yang didatangi jazbah. Guru yang demikian dapat menyapu kekeliruan
daripada mengelabui pandangan hati muridnya. Murid itu dapat maju ke matlamat
terakhir dengan selamat dan teratur. Bimbingan guru membuat salik mengalami
dan mengetahui pengalaman mereka. Pengenalan melalui pengalaman yang diterangi
oleh pengetahuan mempercepatkan salik menjadi orang arif. Majzub jenis
inilah dipersetujui oleh kaum sufi.
Majzub jenis pertama hidup terus
menerus sebagai orang majzub, tidak kembali lagi kepada kehidupan manusia
biasa. makrifat mereka berdasarkan pengalaman kerohanian mereka. Pengalaman
mereka hanya untuk diri mereka sahaja, bukan untuk orang lain. Tanpa tajalli
ilmu (terbuka pengetahuan tentang pengalaman yang dilalui) mereka tidak
boleh dipanggil orang arif dan mereka tidak dibolehkan menjadi pembimbing
orang ramai yang di dalam kesedaran biasa.
Majzub jenis ke dua melalui stesen-stesen
kerohanian dan mencapai berbagai-bagai makam dalam tempuh yang singkat.
Kumpulan ini biasanya memasuki jazbah tanpa persediaan dari segi ilmu dan
juga mereka tidak mempunyai guru. Setelah mengalami jazbah mereka kembali
kepada kesedaran biasa. Akal fikiran dan sifat kemanusiaan mereka dikembalikan.
Mereka mendapati sukar untuk menghuraikan pengalaman kerohanian yang telah
mereka lalui. Ketika di dalam zauk pengetahuan tidak penting, tetapi bila
kembali sedar akal fikiran memerlukan kefahaman. Dari sini orang majzub
yang kembali sedar itu digerakkan untuk menyelidik, mengambil iktibar dan
bertanya kepada orang-orang yang arif. Keadaan mereka adalah umpama orang
yang bermimpi pada malam hari dan termenung pada siangnya untuk mengingati
apa yang dimimpikan dan apa pula maksud mimpi tersebut. Proses memahami
dan menyusun perjalanan kerohanian jauh lebih lambat daripada proses pengalaman
kerohanian itu sendiri. Pengalaman kerohanian yang dilalui dalam tempuh
dua bulan mungkin mengambil masa lebih daripada lima tahun untuk memahaminya
dengan jelas dan menyusunnya secara terperinci. Kelambatan proses ini juga
disebabkan oleh kesan jazbah yang sukar hilang dari kesedaran seseorang.
Kebenaran yang ditemui melalui akal fikiran akan berubah-ubah mengikut
kadar kesan jazbah yang sudah hilang daripada mereka. Apabila mereka bebas
sepenuhnya daripada kesan jazbah, mereka akan temui Kebenaran Hakiki yang
sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Walaupun mereka mengalami hakikat
tetapi tanpa kematangan ilmu mengenai pengalaman tersebut, mereka tidak
layak dipanggil orang arif. Ilmu mereka benar-benar matang setelah mereka
kembali kepada al-Quran dan as-Sunah.
Majzub jenis ke tiga biasanya terdiri
daripada mereka yang mempunyai bekalan ilmu yang mencukupi. Kumpulan ini
memasuki jalan kerohanian secara berhati-hati dan diselubungi oleh keraguan.
Mereka memerlukan masa untuk mengharmonikan pengalaman yang dilalui dengan
pengetahuan yang sedia ada. Apa yang diketahui sebelum mendapat jazbah
berbeza daripada apa yang diketahui sesudah mendapat jazbah. Kedua-dua
pengetahuan yang kelihatan berbeza itu kemudiannya dapat dipastikan bahawa
perbezaan berlaku pada sudut pandangan sedangkan kebenarannya tidak berbeza.
Pengalaman mengsahkan apa yang sudah diketahui. Bila kedua-dua jenis pengetahuan
itu bersepakat keraguan mereka pun hilang. Pengetahuan yang lahir
daripada cantuman dua sudut itu meneguhkan keyakinan.
Majzub jenis ke empat memasuki bidang
suluk terlebih dahulu. Ketika menjalani suluk itulah mereka memperolehi
jazbah. Tempuh mendapatkan jazbah berbeza-beza di antara seorang salik
dengan salik yang lain. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Tidak kurang
juga yang langsung tidak mendapat jazbah. Salik yang tidak mendapat jazbah
atau lambat memperolehinya tidak seharusnya berasa kecewa. Jazbah bukanlah
matlamat suluk. Kebaikan bagi orang yang menjalani jalan kerohanian adalah
menjaga makam mereka. Jangan meminta makam yang lebih tinggi atau lebih
rendah. Intisari bagi perjalanan kerohanian adalah kesabaran dalam menjalankan
perintah Allah s.w.t dan kesabaran menanggung takdir-Nya. Salik hanya perlu
menjaga takdir yang mereka berada di dalamnya. Sabar mengawal diri dan
tidak bertelingkah dengan takdir merupakan kejayaan yang besar bagi salik,
sekalipun mereka tidak mendapat jazbah. Teruskan tegak berdiri kerana Allah
s.w.t, demi Wajah-Nya semata-mata bukan kerana sebarang keperluan. Salik
jenis ini dibawa kepada ikhlas tanpa melalui jazbah. Ikhlas dan benar dengan
Allah s.w.t merupakan matlamat perjalanan kerohanian, baik melalui jazbah
atau secara sedar. Salik yang menetap dalam kesedaran beriman kepada Allah
s.w.t dan Rasul-Nya dengan ikhlas. Mereka beriman kepada perkataan al-Quran
dan Hadis dengan ikhlas tanpa memasuki bidang hakikat. Bagi salik yang
mengalami jazbah pula berdampingan dengan guru menjadi syarat penting.
Mereka perlu merujukkan kepada guru mereka semua pengalaman kerohanian
yang mereka lalui semasa jaga mahupun secara mimpi. Salik jangan mudah
membuat tafsiran sendiri mengenai sesuatu perkara.
Setiap orang majzub mempunyai jalannya
sendiri yang berbeza dengan majzub yang lain. Masing-masing ditarik kepada
jalannya oleh ‘kuasa ghaib’ yang diistilahkan sebagai Tarikan Rahmani (ketuhanan),
Pembimbing Hakiki ataupun Perintah Batin. Orang majzub menerima Tarikan
Rahmani tanpa mereka boleh menahannya. Tarikan tersebut membawa mereka
kepada jalan khusus yang Tuhan sediakan untuk mereka. Tarikan tersebut
juga mengarahkan mereka melakukan sesuatu perkara tanpa terikat dengan
hukum logik. Tarikan yang langsung dari Tuhan itu juga memandu orang majzub
sehingga selamat sampai kepada matlamat. Orang yang di dalam keadaan demikian
sering mendapat peringatan dari dalam diri mereka sendiri. Peringatan yang
demikian dinamakan Suara Hakiki. Jika timbul cita-cita mereka untuk berhenti
tatkala terjadi kasyaf suara dari dalam diri mereka akan memberi peringatan:
“Apa yang kamu cari masih jauh di hadapan. Oleh itu jangan berhenti!” Jika
terbuka kepada mereka rahsia alam maya, mereka diperingatkan oleh hakikat
alam maya: “Sesungguhnya kami adalah ujian, kerana itu janganlah kamu kufur!”
Hamba yang dipimpin itu menafikan apa juga yang ditemui di sepanjang jalan.
Apa yang mereka saksikan adalah gubahan Tuhan, hikmat kebijaksanaan-Nya
dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia. Zat Ilahiat tetap tinggal
terhijab, tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun. Akhirnya hamba menemui
kenyataan bahawa Dia yang sebenarnya mengenali Diri-Nya. Dia yang mencari,
Dia yang dicari dan Dia yang menemui. Tidak ada sesiapa yang ikut campur
dalam urusan-Nya.
Orang yang sedang dikuasai oleh Tarikan
Rahmani akan kehilangan kekuatan akal fikiran dan kesedaran diri mereka.
Pengaruh pancaindera dan alam sekeliling menjadi lemah kepada hati mereka.
Rangsangan yang datang dari kehendak diri sendiri menjadi tumpul. Pada
peringkat permulaan mengalami hal yang demikian, ketika akal fikiran, kesedaran
dan kehendak diri masih mempunyai kekuatan, mereka tidak mengerti apakah
yang sedang berlaku kepada diri mereka. Mereka merasakan kelainan tetapi
tidak mengerti mengenainya. Walaupun begitu mereka terus juga berjalan
menurut cetusan yang muncul dari dalam diri mereka. Setelah beberapa lama
mereka mula menyedari kehadiran ‘kuasa ghaib’ yang menguasai mereka, memberi
petunjuk dan bimbingan. Kelainan yang mereka alami mereka hubungkan dengan
kehadiran kuasa ghaib tersebut. Mereka tidak tahu apakah hakikat kuasa
ghaib itu tetapi mereka yakin bahawa ia adalah sesuatu yang suci dan berhubung
rapat dengan pekerjaan Tuhan. Mereka yakin hanya dengan mengikuti petunjuk
ghaib itu mereka dapat menghampiri Tuhan. Kehadiran kuasa ghaib tersebut
dirasakan bertambah kuat dari masa ke masa. Ia membuat mereka berasa tenang
dan mereka merasakan jalan menuju Tuhan semakin terang.
Penguasaan petunjuk ghaib ke atas
diri mereka membawa mereka kepada peringkat di mana mereka menyaksikan
kelakukan dan perbuatan muncul daripada diri mereka tanpa mereka berkehendak
melakukannya, tanpa berfikir dan merancang dan juga tanpa menggunakan kekuatan
diri sendiri. Segalanya berlaku secara spontan. Mereka tidak ikut campur
dalam menghasilkan perbuatan diri mereka sendiri. Mereka hanya menyaksikan
‘kuasa ghaib’ menghasilkan kelakuan dan perbuatan diri mereka. Mereka tidak
ada kehendak untuk membantah hal yang demikian, malah hal tersebut membuat
mereka memerhatikan sesuatu tentang Tuhan. Apa yang berlaku secara spontan
itu membukakan kefahaman mereka tentang Tuhan. Dalam keadaan yang demikian
akal mereka menjadi umpama bekas yang dituangkan dengan kefahaman. Banyak
perkara mengenai ketuhanan yang mereka tidak fahami sebelumnya ‘difahamkan’
pada peringkat ini. Hal yang demikian membuat hati mereka merasakan kewujudan
hubungan di antara Tuhan dengan mereka. Jika kehendak kepada sesuatu yang
lain menjadi lemah tetapi kehendak berjumpa dengan Tuhan menjadi kuat.
Hati mereka sudah ada rasa kasihkan Tuhan. Mereka juga dapat merasakan
kasihan belas Tuhan kepada mereka. Mereka mendapat penghayatan bahawa Tuhan
tidak melupakan mereka, Tuhan sentiasa mengambil tahu tentang hal-ehwal
mereka. Bertambahlah keseronokan mereka mengintai Tuhan.
Orang yang sedang diheret oleh petunjuk
ghaib hilang minat kepada makhluk dan kehidupan dunia seluruhnya. Hati
mereka hanya mencintai Allah s.w.t. Mereka menjadi hamba yang gilakan Allah
s.w.t. Apa sahaja yang dipandang membalikkan sesuatu tentang Allah s.w.t.
Dalam keasyikan mereka mengalami berbagai-bagai hakikat ketuhanan yang
menambahkan pengenalan mereka tentang Tuhan. Puncak kecintaan hamba kepada
Allah s.w.t adalah pengalaman Allah Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya.
Selepas pengalaman tersebut mereka memasuki suasana baqa dengan Allah s.w.t.
Suasana kebaqaan membuat mereka merasakan yang mereka tidak berpisah dengan
Allah s.w.t yang mereka cintai, walau di mana mereka berada dan apa juga
yang mereka lakukan. Bila suasana demikian sudah menguasai hati mereka
baharulah mereka boleh terima kehadiran makhluk kerana pada tahap ini kehadiran
makhluk tidak lagi memisahkan mereka dengan Tuhan.
Perjalanan seterusnya membawa mereka
kepada kesedaran mengenai tujuan mereka diciptakan. Kesedaran, akal fikiran
dan sifat kemanusiaan mereka sudah dikembalikan. Mereka mula bergerak jauh
daripada Tuhan tetapi dalam keadaan tidak berpisah. Bila kesedaran, fikiran
dan sifat kemanusiaan mereka kembali sepenuhnya, mereka dapat melihat perbezaan
di antara Tuhan dengan hamba. Mereka berpindah daripada suasana baqa kepada
suasana kehambaan sepenuhnya. Mereka kembali kepada kewujudan diri sendiri
dan menghabiskan sisa-sisa hidup mereka sebagai ahli syariat yang taat.
Lengkaplah perjalanan kerohanian mereka. Pengalaman jazbah menjadi ingatan
yang paling berharga bagi mereka kerana melalui pengalaman tersebut mereka
berubah menjadi manusia baharu, mempunyai kehendak dan citarasa yang baharu.
Jazbah telah menghancurkan ‘patung-patung’ dalam diri mereka yang mereka
tidak berupaya menghancurkannya dengan kekuatan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment